Nabi Ibrahim Dibakar Namrud                                 Di dalam sebuah kota yang bernama Kota Babylon, semua orang  yang tinggal                      di dalam kota tersebut berkeyakinan dan menyembah  suatu Tuhan                      iaitu yang diperbuat daripada berhala. Jadi mereka  mengukir                      patung-patung berhala lalu mereka juga yang  menyembahnya.                      Mereka beribadah serta bersembahyang kepadanya dan  mereka                      juga amat menakutinya tuhan berhala itu tadi. Dan  antara lain                      menjadi salah satu tradisi mereka ialah apabila  mereka selesai                      beribadah di rumah ibadah atau kuil mereka, sebelum  keluar                      setiap mereka mesti membeli satu patung berhala  kecil untuk                      mereka letakkan di dalam rumah dan juga untuk di  sembah. Dan                      sebenarnya siapakah yang menjadi tukang ukir bagi  patung-patung                      itu semua? Ia adalah seorang lelaki yang bernama  Azar. 
                   
    Pada suatu hari masuklah si anak kepada                        Azar tukang ukir patung anaknya, itulah dia Nabi  Ibrahim                        as. Lalu Nabi Ibrahim pun bertanya kepada bapanya:  “Wahai                        ayahku, adakah engkau benar-benar yakin dan  percaya bahawa                        semua patung-patung yang kamu ukir dan jual itu  semuanya                        adalah Tuhan yang hakiki?” Bila Azar mendengar  pertanyaan                        sebegitu dari anaknya terus dia menjadi marah akan  tetapi                        Nabi Ibrahim tidak memperdulikannya dan dia terus  bertanya                        dan bertanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             “Ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya  Azar: “Adakah                        engkau ambil berhala menjadi Tuhan? Sesungguhnya  aku melihat                        engkau dan kaum engkau dalam kesesatan yang  nyata.”
(Al-An’am: 74)                                                                     Berterusanlah si Azar bapa Nabi Ibrahim                      memarahinya dia betul-betul marah kepada anaknya  lantas dia                      berkata dengan suara yang tinggi kepada anaknya  sepertimana                      yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud:                                             Berkata bapanya: “Adakah engkau benci kepada  Tuhanku ya                        Ibrahim? Demi jika engkau tidak berhenti nescaya  kurejam                        engkau dengan batu dan tinggalkanlah aku dalam  masa yang                        panjang.”
(Maryam: 46)                                                                     Sesungguhnya Nabi Ibrahim siang dan malam                      tidak habis-habis memikirkan tentang dunia yang ada  di sekelilingnya                      dia tercari-cari manakah satu Tuhan yang sepatutnya  dan semestinya                      dia menyembah. Maka pada suatu malam yang gelap  gelita tiba-tiba                      muncul bintang yang cahayanya bergemerlapan di  langit. Jadi                      dia terus berkata di dalam hatinya: “Inilah Tuhanku  maka bermula                      dari hari ini aku akan menyembahnya!” Akan tetapi  malang bila                      tiba waktu siang semua bintang-bintang yang  bergemerlapan                      di waktu malam itu tadi pun terus hilang. Firman  Allah SWT                      yang bermaksud:                                             Tatkala malam telah gelap Ibrahim melihat bintang  lalu dia                        berkata: “Inikah Tuhanku? Tatkala bintang itu  terbenam dia                        berkata: “Aku tidak mengasihi barang yang lenyap  itu.”
(Al-An’am: 76)                                                                     Keesokannya Nabi Ibrahim melihat kepada                      bulan pula dia mendapati bahawa bulan di malam hari  itu terlalu                      cantik itulah bulan purnama namanya. Maka dia mula  berkata-kata                      lagi di dalam hatinya: “Aku rasa inilah dia Tuhan  aku. Maka                      aku akan menyembahnya moga-moga ada kebaikan  buatku.”                      
Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             Tatkala dia melihat bulan telah terbit dia  berkata: “Inikah                        Tuhanku?” Tatkala bulan itu terbenam dia berkata  lagi: “Jika                        aku tidak di tunjuki oleh Tuhanku nescaya aku  termasuk kaum                        yang sesat.”
(Al-An’am: 77)                                                                     Akan tetapi sangkaannya itu meleset sama                      sekali kerana pada keesokannya bulan terbenam dan  hilanglah                      cahayanya yang terang benderang pada waktu malam  tadi. Tetapi                      dia tidak bersedih. bahkan bergembira kerana dia  berpeluang                      melihat matahari pula. Lantas dia mengatakan:  “Matahari lebih                      besar pula cahayanya dari bulan dan bintang, maka  aku rasa                      inilah dia Tuhanku yang sebenar.” Tapi sayang bila  sampai                      waktu petang di dapati matahari yang di sangkanya  Tuhan itu                      turut hilang. Maka Nabi Ibrahim pun tidak jadi untuk  menyembahnya.                      Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             Tatkala dia melihat matahari terbit dia berkata:  “Inikah                        Tuhanku? Ini lebih besar.” Tatkala matahari itu  terbenam                        dia berkata: “Wahai kaumku sesungguhnya aku  berlepas diri                        dari apa-apa yang kamu persekutukan itu.” (Al-An’am:                        78)(Al-Baqarah:  260)                                               Bermula dari hari itu Nabi Ibrahim mula                      menyeru kepada kaumnya agar segera meninggalkan  tuhan berhala                      mereka itu “sembahlah Allah Tuhan yang Esa dan juga  Tuhan                      yang menjadikan kita semua.” Akan tetapi mereka  tidak memperdulikan                      kata-katanya bahkan mereka mengutuk dan memberikan  ancaman                      kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             “Mereka berkata: “Adakah engkau mendatangkan  kebenaran kepada                        kami atau engkau bermain-main?” Dia berkata:  “Bahkan Tuhan                        kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah  menciptakan                        semuanya. Dan aku menjadi saksi atas demikian  itu.” (Al-Anbiyaa’:                        55 dan 56)                                               Mereka memang langsung tidak menghiraukan                      kata-kata Nabi Ibrahim hinggakan sampai peringkat  mereka mengatakan                      bahawa Nabi Ibrahim adalah seorang yang bodoh lagi  jahil dan                      juga akal fikirannya terlalu sempit serta  menyeleweng. Maka                      pada suatu hari seluruh ahli penduduk kota itu  keluar beramai-ramai                      kerana merayakan hari raya bagi Tuhan  berhala-berhala mereka                      dan perayaan tersebut di jalankan di luar kota bukan  di dalam                      kota. Jadi di kala itu tidak ada seorang pun yang  tinggal                      di dalam kota lengang kecuali Nabi Ibrahim sahaja.  Begitu                      juga dengan rumah ibadah mereka lengang tiada  sesiapa.                                                                     Akhirnya Nabi Ibrahim mengambil keputusan                      bahawa dia tidak akan sama sekali menyembah  mana-mana tuhan                      kecualilah Tuhan yang menjadikan alam ini Tuhan yang  menjadikan                      bintang, bulan dan juga matahari juga dunia dan  seisinya.                      Dia tidak akan sama sekali menyembah Tuhan selain  Allah SWT.                      Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             “Ingatlah ketika Ibrahim berkata: “Wahai Tuhanku  perlihatkanlah                        kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang yang  mati.”                        Allah berfirman: “Tidakkah engkau beriman?”  Sahutnya: “Ya...                        aku beriman tetapi untuk mententeramkan hatiku.”  Allah berfirman:                        “Ambillah empat ekor burung dan hampirkan kepada  engkau                        (potong-potong semuanya) kemudian letakkan di atas  tiap-tiap                        bukit sebahagian dari burung-burung yang dipotong  itu, kemudian                        panggillah semuanya nescaya datanglah semuanya  kepada engkau                        dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah  Maha Perkasa                        lagi Maha Bijaksana. 
    Nabi Ibrahim merasakan bahawa inilah                        peluang untuk dia mengajar kaumnya lalu dia  bersegera menuju                        ke rumah ibadah kaumnya. Dia terus masuk ke  dalamnya yang                        mana terdapat satu kawasan lapang dipenuhi dengan  bermacam-macam                        patung berhala. Tanpa berlengah Nabi Ibrahim terus  mengambil                        kapaknya lalu dipukul dan dihancurkan ke semua  patung-patung                        itu tadi habis semua dimusnahkan cuma satu sahaja  yang tidak                        dimusnahkan iaitu patung yang paling besar.  Kemudian yang                        dilakukan oleh Nabi Ibrahim dia menyangkutkan  kapaknya tadi                        ke leher patung berhala yang besar itu dan Nabi  Ibrahim                        terus pergi meninggal rumah ibadah tersebut pulang  ke rumahnya.                      
    Di kala itu semua kaumnya sedang sibuk                        merayakan perayaan tuhan mereka. Mereka  merayakannya dengan                        penuh meriah sekali lebih-lebih lagi si raja yang  bernama                        Namrud iaitu raja Kota Babylon ketua bagi mereka  juga turut                        hadir. Bilamana perayaan tadi selesai terus raja  memberi                        isyarat kepada hamba-hambanya dan tanpa berlengah  si hamba-hamba                        tadi terus mengangkatnya untuk kembali semula ke  dalam kota                        mereka. Dan sebelum sampai ke istananya raja  mengarahkan                        kepada seluruh hamba-hambanya agar membawa dia ke  rumah                        ibadah (kuil). Bila sahaja raja Namrud menjejakkan  kakinya                        ke dalam kuil dia terperanjat besar begitu juga  dengan rakyat-rakyat                        yang turut hadir. Dia dapati bahawa ke semua  patung-patung                        berhala telah habis musnah jatuh bergelimpangan  dan berkecai.                      
    Kemudian Namrud berkata dengan suaranya                        yang tinggi: “Siapakah yang berbuat sebegini kejam  sekali?”                        Seluruh rakyatnya yang hadir terus berkata: “Lain  tidak                        bukan ialah seorang pemuda yang tidak mahu beriman  kepada                        tuhan-tuhan kita ini. Pemuda itu namanya Ibrahim!”  Raja                        Namrud terus menjerit: “Bawa segera pemuda itu ke  mari!”                        Merekapun bersegera pergi mendapatkan Nabi  Ibrahim. Mereka                        menangkapnya dan dibawa ke hadapan Namrud yang  masih menunggu                        di dalam kuil.                      
Sampai saja terus Namrud berkata kepada Nabi  Ibrahim: “Kamukah                        yang melakukan perbuatan ini kepada tuhan-tuhan  kami?” Nabi                        Ibrahim berkata: “Bukan aku yang melakukannya kamu  tidak                        lihat di leher patung berhala yang paling besar  itu terdapat                        satu kapak yang besar. Sudah tentulah dia yang  memusnahkan                        ke semua patung-patung itu. Kalau tidak percaya  cuba kamu                        tanyakan kepadanya ataupun kamu tanyakan kepada  patung-patung                        yang telah binasa tentang siapakah yang  memusnahkan mereka                        semua?”                      
    Raja Namrud dan rakyatnya tidak  semena-mena                        merasa malu dan tersipu-sipu kerana mereka tahu  bahawa sesungguhnya                        patung-patung itu sama sekali tidak boleh  berkata-kata.                        Lalu Namrud pun terus berkata: “Wahai Ibrahim!  Kamu sendiri                        pun tahu bahawa patung-patung itu semua tidak  boleh berkata-kata,                        tidak boleh berjalan-jalan dan juga langsunglah  tidak boleh                        buat apa-apa!”                      
Terus Nabi Ibrahim as. menjawab: “Jadi kalau  begitu mengapa                        kamu menyembahnya. Bagaimana kamu boleh menyembah  sesuatu                        yang langsung tidak memberi kamu apa-apa manfaat  tidak memberi                        mudarat buat musuhmu dan langsung tidak dapat  untuk mempertahankan,                        dirinya sendiri?”                      
Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             “Ibrahim berkata: “Patutkah kamu sembah selain  Allah barang                        yang tiada manfaat kepadamu sedikitpun dan tidak  pula memberi                        mudarat kepadamu? Celakalah kamu dan apa yang kamu  sembah                        selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahaminya?”  (Al-Anbiyaa’:                        66 dan 67)                                               Akhirnya Raja Namrud dan seluruh rakyatnya                      mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim dibakar dengan  api atau                      unggun yang besar. Maka Namrud pun terus  memerintahkan seluruh                      rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan  sampai peringkat                      burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya  kalau                      terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api  yang                      besar itu.                      
    Setelah sampai masa yang telah  ditetapkan,                        Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus  melihat                        kepada api yang sangat besar itu di dalam hatinya  terselit                        kegembiraan yang sangat kerana sekejap lagi Nabi  Ibrahim                        akan mati dibakar api, dia gembira kerana api akan  memakan                        seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan  mereka.                      
    Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada                        satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus  Nabi                        Ibrahim di lemparkan ke dalam api yang besar itu.  Mereka                        terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu  dilemparkan                        dia begitu tenang sekali langsung tidak  meronta-ronta ataupun                        melawan. Lebih terkejutlah lagi bila mereka  saksikan bahawa                        Nabi Ibrahim langsung tidak di makan oleh api  bahkan dia                        boleh berjalan ke sana sini pula dalam api  tersebut.                      
Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             “Wahai api! Hendaklah engkau menjadi dingin dan  selamat                        terhadap Ibrahim.” Mereka hendak memperdayakan  Ibrahim dengan                        dia lalu Kami berkati di dalamnya untuk seluruh  alam.(Al                        Anbiyaa’: 69 dan 70)                                               Sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan                      Nabi Ibrahim dari kejahatan dan kezaliman si Raja  Namrud dan                      rakyat-rakyatnya dan Allah menunjukkan kepada mereka  bahawa                      sebenarnya patung-patung berhala itu langsung tidak  memberi                      makna apa-apa langsung, tidak ada kekuatan dan bagi  manusia                      yang di kurniakan akal fikiran pula tidak wajarlah  merasakan                      bahawa patung berhala itu sebagai Tuhan yang mesti  disembah.                      
    Tidak lama selepas itu api yang besar                        tadi pun terpadam lalu Nabi Ibrahim segera keluar  dari longgokan-longgokan                        bara api dengan selamat seakan-akan tidak ada  apa-apa yang                        berlaku ke atasnya. Dan terus Nabi Ibrahim membawa  dirinya                        meninggalkan kaumnya membiarkan mereka itu semua  dengan                        kehendak mereka, juga buatlah sesuka hati dengan  tuhan berhala                        mereka. Nabi Ibrahim menyerahkan segalanya kepada  Allah                        SWT untuk memberikan hukuman juga membinasakan  mereka.                      
    Bermusafirlah Nabi Ibrahim membawa diri                        kepada Tuhannya ditinggalkannya kaum yang degil  lagi bodoh                        sombong dalam kebinasaannya yang telah Allah  jadikan kepada                        mereka. Dia membawa diri bermusafir hinggalah  sampai ke                        bumi Palestin dan di sana dia menyeru manusia  supaya beriman                        Tuhan yang Esa iaitu Allah SWT dan mengerjakan  ibadah kepadanya.                        Ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa di mana sahaja  Nabi Ibrahim                        pergi dia tetap menanamkan keimanan kepada Allah  dan akhirnya                        Allah SWT juga telah memberi hadiah yang besar  kepadanya                        iaitu lahirlah dari zuriatnya keturunan yang baik  dan soleh                        yang kemudian kebanyakan mereka itu menjadi nabi  dan rasul                        yang Allah utuskan kepada seluruh manusia agar  membawa mereka                        kepada bertuhankan Allah SWT dan menjauhkan mereka  dari                        bertuhankan tuhan selain Allah seperti berhala dan  lain-lain                        lagi. kemudian memberi tunjuk ajar kepada seluruh  manusia                        untuk beribadah kepada Allah SWT. Dengan sebab  itulah Nabi                        Ibrahim digelarkan dengan gelaran “Bapa sekalian  nabi-nabi.”                                         
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Perhatikanlah  riwayat Ibrahim                      dalam kitab (Al-Quran). “Sesungguhnya dia adalah  seorang yang                      sangat benar dan seorang nabi.” (Maryam:                       41)
                                          
                   Namrud  Berlawan Dengan                      Tentera Nyamuk
                       Kebinasaan Namrud ini terjadi pada hari                      Rabu, ia dibinasakan Allah SWT dengan tentera  nyamuk. 
                   Firman Allah SWT yang bermaksud:                                             “Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu  melainkan                        Dia sendiri.” (Al-Muddatsir:  31)                                               Namrud mempunyai tentera sebanyak tujuh                      ratus ribu penunggang kuda dengan senjata yang  lengkap. Namrud                      berkata kepada Nabi Ibrahim: “Hai Ibrahim, jika  Tuhanmu mempunyai                      malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang  denganku.                      Jika sanggup ambillah kerajaanku ini.”                      
Maka Nabi Ibrahim as. munajat kepada Allah  SWT: “Ya Ilahi                        sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu  kedatangan                        tenteramu, maka kirimkanlah kepada meraka tentera  daripada                        selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk.”                      
    Ketika Namrud dan tenteranya telah  berkumpul                        di padang yang luas, maka Allah memerintahkan  nyamuk keluar                        dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga  menutupi                        permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk  bertanya: “Ya                        Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?”  Allah berfirman:                        “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari  ini berbentuk                        daging tentera Namruz.”                      
    Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan                        kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk  tersebut                        menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah  mereka,                        Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda  penyeksaan                        terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri  kehancuran                        tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan  Namrud                        sehingga ia dapat pulang ke istana.                      
Nabi Ibrahim as. merasa hairan dan takjub  melihat peristiwa                        tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya:
                    “Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku,  sekiranya                        engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus  tentera nyamuk,                        tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus  daripada nyamuk,                        jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu  tidak mencapai                        besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga  mereka dengannya.”                      
    Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud,                        lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk  menjalankan                        tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang  pohon                        selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka  ia masuk                        ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya.  Kemudian                        ia memakan otak Namrud selama 40 hari.                      
    Begitu besar sifat pengasih dan penyayang                         Allah SWT.  Allah tidak menyeksa Namrud dengan  segera,                        tetapi masih diberi masa ia bertaubat. Masa tiga  hari yang                        diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan  oleh                        Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka  jadilah                        Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang  dimurkai Allah                        SWT.
Dipetik Dari Buku:                    1001  Durjana                    - Himpunan Kisah Insan Derhaka
                 Pengarang: Muhammad Isa Selamat